PUNCA kemerosotan prestasi dialami gergasi Lembah Klang, Selangor musim ini tidak boleh diletakkan ke atas bahu jurulatih semata-mata.
Walaupun tampil bertanggungjawab berikutan situasi itu, bekas ketua jurulatih Merah Kuning, K Devan menegaskan ia tidak bermakna semua faktor yang hampir menyebabkan Selangor menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi berpunca daripada dirinya.
“Saya memang bertanggungjawab namun ia tidak bermakna saya bersalah 100 peratus. Terdapat faktor lain yang menyumbang kepada perkara ini,” katanya Bekas pengendali berusia 50 tahun itu mengaku antara faktornya adalah kehilangan penyerang utamanya, Mohd Safee Sali yang berhijrah ke Pelita Jaya FC pada awal saingan Liga Malaysia 2011 selain masalah kecederaan tonggak utama yang sering kali membelenggu pasukannya musim ini.
Pandangan Devan itu ada kebenarannya apabila penyerang lain yang dimiliki Selangor gagal mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu sehingga terpaksa menggunakan dua pemain tengah di jentera serangan dalam aksi pembukaan Piala Malaysia awal bulan ini.
“Tindakan penonton Selangor yang membawa sepanduk mendesak saya meletakkan jawatan ketika tewas 2-1 kepada T-Team (Sabtu lalu) membuatkan saya terfikir untuk berundur. Mereka seolah-olah tidak mengenang jasa saya membawa lima piala kepada Selangor sejak 2009,” katanya yang meraih Liga Super (2009 dan 2010), Piala FA (2009) dan Piala Sultan Ahmad Shah (2009 dan 2010).
Beliau bagaimanapun mengaku kekalahan besar kepada Kelantan (5-1) pada separuh akhir Piala FA pertama adalah titik tolak kepada kemerosotan pasukan Merah Kuning walaupun dibarisi sejumlah pemain berkualiti.
“Selepas tewas perlawanan itu, moral, semangat, motivasi dan semangat satu pasukan sudah merosot dan saya gagal kembalikan semula empat perkara ini dalam diri pemain. Namun saya tidak salahkan pemain, mungkin nasib tidak menyebelahi kita kali ini,” katanya.
Mengenai tindakan FAS menamakan bekas penolongnya, P Maniam sebagai pengganti bagi meneruskan cabaran mengharungi Piala Malaysia yang sedang berlangsung, Devan berkata pihak pengurusan mempunyai keyakinan dan mereka lebih bijak dalam memilih siapa pengganti dirinya.
Dear visitor, you went to the site as unregistered user. We encourage you to register or enter the site under your name.