Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
TOKYO - Hasrat untuk menyaksikan pemain bola sepak negara beraksi dalam Liga Bola Sepak Jepun (Liga-J) bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi apabila negara itu menyatakan minat mendalam terhadap kemampuan pemain negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Masaharu Nakagawa dalam pertemuan rasmi mereka di sini, semalam.
"Program pertukaran pemain ini merupakan cadangan yang dibangkitkan dalam usaha merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara menerusi medium sukan.
"Bagi Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), pertukaran pemain itu juga adalah antara pendekatan untuk menjadikan Liga-J sebagai liga yang diminati oleh rakyat Malaysia,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan rasmi dengan Masaharu yang merupakan antara program dalam lawatan kerja selama tiga hari beliau ke bandar raya ini.
Selain pertemuan dengan Masaharu, Ahmad Shabery sempat mengadakan bertemu empat mata dengan Pemangku Setiausaha Agung, Parti Demokratik Jepun, Shinju Tarutoko dan Presiden Majlis Olimpik Jepun (JOC), Tsunekazu Takeda.
Ahmad Shabery menambah, beliau akan memanjangkan minat JFA itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta kepada pemain bola sepak negara supaya turut melihat Liga-J sebagai salah satu pilihan bagi mengembangkan kerjaya di peringkat antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Shabery berkata, beliau akan meminta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mengenal pasti bidang-bidang yang boleh dimanfaatkan menerusi kerjasama dengan JOC.
"Ini berdasarkan tawaran JOC kepada MOM untuk menggunakan segala kemudahan dan kepakaran yang dimiliki oleh badan itu dalam pembangunan sukan negara,'' katanya.
Sementara itu, Ahmad Shabeery berkata, beliau akan memaklumkan kepada Kabinet serta rakan-rakan dalam MOM untuk menyokong hasrat Jepun dalam bidaan untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020.
Ia jelas beliau, berdasarkan hakikat bahawa Jepun lebih awal menyatakan hasrat tersebut selain sebagai satu satu sokongan kepada rakyat Jepun keseluruhannya yang masih terkesan dengan bencana tsunami yang melanda negara itu pada Mac lalu.
Jepun sebelum ini menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020 dengan menawarkan Hiroshima dan Nagasaki iaitu dua buah bandar yang musnah kerana bom atom pada Perang Dunia Kedua sebagai hos bersama.
Pemilihan kedua-dua bandar itu sebagai simbolik bagi Jepun menyampaikan mesej dunia aman tanpa senjata nuklear kepada masyarakat antarabangsa. - UTUSAN