Oleh Debra Chong
KUALA LUMPUR, 5 Sept — Ketika kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghampiri penghujung, antara peguam yang menerima fi tertinggi di negara ini menafikan berkonspirasi dengan kakitangan Jabatan Perdana Menteri untuk menggunakan media dan menamatkan kerjaya politik Ketua Pembangkang, yang dilihat sebagai ancaman kepada Barisan Nasional (BN).

Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang lazimnya dikaitkan dengan Umno, berhadapan dengan kecaman dunia siber kononnya beliau mencampuri urusan liputan berita kes kontroversi Anwar, yang akhir bulan lalu membela dirinya di mahkamah dengan membacakan kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh.
Peguam itu didakwa memberi beberapa arahan kepada editor-editor dan pemberita media arus perdana. Kecaman itu dibuat oleh blogger yang memperkenalkan dirinya sebagai Ahmat Gaza.
Dia mendakwa pertemuan rahsia itu diadakan di Le Meridien Hotel di sini dan turut dihadiri oleh penasihat media kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Abdul Jalil Hamid.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam, Muhammad Shafee (gambar) yang awalnya membisu dalam isu tersebut, mengecam dakwaan blogger tersebut.
Katanya, dakwaan itu satu usaha untuk menghuru-harakan institusi kerajaan untuk mengambil alih Putrajaya. Bagaimanapun beliau tidak mengatribut perkara itu kepada Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.
“Agenda dia ialah untuk menyemai rasa tidak percaya sedaya yang boleh terhadap institusi-institusi kerajaan termasuk kehakiman, untuk mewujudkan keadaan huru-hara terhadap keluhuran undang-undang,” kata Muhammad Shafee menjawab dakwaan Ahmat Gaza.
“Gaza ini dungu, yang tidak tahu keadaan sebenar pertemuan ini,” katanya lagi sambil mencemuh dakwaan kononnya ia konspirasi mahu menyebabkan mudarat ke atas Anwar.
Peguam itu memberi amaran akan memfailkan saman fitnah sebaik identiti blogger itu terdedah. Dakwaan itu tersebar luas dan diulang terbit oleh laman-laman web lain.
Muhammad Shafee mengakui beliau ada bertemu dengan beberapa pengamal media di Le Meridien pada 23 Ogos lalu tetapi menekankan “ia bukan satu yang rahsia.”
“Ia dianjurkan oleh Utusan... seorang yang dikenali sebagai Fatiman, untuk menjelaskan kepada media apa yang dimaksudkan sebagai undang-undang menghina mahkamah,” katanya.
Katanya, pertemuan itu dihadiri lapan hingga 15 wakil media dari beberapa organisasi media arus perdana. Antaranya akhbar harian dimiliki Umno, stesen swasta TV3 dan The Star.
Beliau meragui Ahmat Gaza sebagai individu yang mahu mendedahkan perkara tersebut memandangkan pertemuan itu bukan sesuatu yang rahsia sebagaimana didakwa oleh blog berkenaan.
Ditanya sama ada Abdul Jalil juga hadir pada pertemuan itu, Muhammad Shafee berkata: “Jika Jalil ada di sana, saya samar-samar dia ada di sana. Saya tidak terkejut jika dia ada di sana kerana dia ada di sana sebagai orang media.”
Kata Muhammad Shafee, beliau mengenali Jalil tetapi bukan sebagai pembantu Najib dan mendakwa hanya menyedari jawatan semasanya selepas dimaklumkan oleh The Malaysian Insider.
Bagaimanapun, Abdul Jalil, bekas wartawan kanan Reuters enggan mengulas ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider.
Muhammad Shafee memberitahu, beliau juga ada diminta oleh TV3 untuk mengadakan penjelasan seumpama itu selepas stesen itu dan Utusan Malaysia dipanggil menghadap hakim yang mendengar kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya bulan lalu.
Kedua-dua organisasi itu menyiarkan satu laporan memetik seorang wakil rakyat menyentuh salah seorang peguam yang terbabit dalam kes berkenaan.
Peguam itu berkata, beliau dianggap sebagai pakar subjek berkaitan ekoran kes profil tinggi melibatkan bekas wartawan Far East Economic Review Murray Hiebert dan seorang lagi peguam Datuk V.K. Lingam.
“Kerja saya sebagai peguam media adalah untuk mendidik mereka. Sesuatu yang sahih untuk mendidik media. Kesemua media yang bertanggungjawab ada tugas kepada publik untuk melaporkan perkara yang benar.
“Pertemuan saya (dengan media) digambarkan dalam laporan Utusan pada 24 Ogos. Ia bukan satu rahsia,” kata Muhammad Shafee.
Beliau juga mengaku ada memberi komen mengenai kes Anwar tetapi mempertahankan ia hanya satu pandangan untuk menggambarkan apa itu undang-undang menghina mahkamah sebab ada orang bertanya kepadanya pada pertemuan 23 Ogos.
“Mengapa Anwar relevan? Sudah pasti orang hendak tahu sebab ia adalah kes paling kontroversi yang berjalan sekarang,” katanya.
Peguam kanan itu berkata, beliau akan memberi satu syarahan mengenai perkara yang sama penghujung minggu ini, yang dianjurkan oleh Utusan atau TV3 dan terbuka kepada semua media.
Perbicaraan kes liwat Anwar bersambung 19 September ini.