Oleh Debra Chong
KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya yang baru-baru ini enggan ditemu bual merupakan antara tujuh orang diberi sepina agar memberi keterangan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Enggan ditemu bual berbeza daripada disepina,” kata peguam utama Ketua Pembangkang Karpal Singh kepada pemberita hari ini selepas Anwar memberi keterangan dari kandang tertuduh.
Kes peringkat pembelaan bermula hari ini.
Karpal berkata sebaik sahaja mahkamah mengeluarkan sepina, mereka yang dinamakan dalam perintah mahkamah perlu datang.
Kata beliau, perintah mahkamah telah diberi Jumaat lalu.
Pada 12 Ogos lalu, Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor (gambar) muncul di Mahkamah Tinggi untuk bertemu dengan pasukan peguam Anwar.
Bagaimanapun kedua-dua mereka enggan ditemu bual dan tidak akan memberi apa-apa kenyataan melainkan mahkamah mengeluarkan sepina.
Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, yang turut dinamakan sebagai saksi pembela, juga memberikan jawapan yang sama.
Karpal juga berkata mereka yang diarah memberi keterangan ketika prosiding pembelaan masih boleh memohon untuk mengetepikan perintah mahkamah.
“Ya, mereka masih boleh (memohon) mengetepikan sepina,” katanya.
Bagaimanapun jelas Karpal, beliau belum dimaklumkan apa-apa mengenai permohonan sedemikian.
Berita awal
Kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim membela dirinya akan menyaksikan pihak pembelaan menyampaikan sepina kepada tujuh saksi, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datuin Seri Rosmah Mansor.
Turut akan disepina adalah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof.
Sebelum ini semasa sesi perjumpaan dengan peguam Anwar, minggu lalu, keempat-kempat mereka tidak mahu ditemubual.
Najib dan Rosmah juga memberitahu peguam yang mewakili ketua pembangkang itu bahawa mereka tidak mahu menjadi saksi pembela.
Pada 16 Mei lalu, Anwar diperintah membela diri selepas, Hakim Zabidin memutuskan Mohd Saiful, pengadu dalam kes liwat itu, adalah bercakap benar dan seorang saksi berwibawa.
Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, terhadap pertuduhan melakukkan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.