| |
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Zhang Jilong (kiri) bersalam dengan Mohamed Bin Hammam (tengah) sambil diperhatikan Ron Gourlay pada majlis menandatangani kontrak program 'Vision Asia' di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Mohd. Arif Rameli  KUALA LUMPUR - Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan Chelsea bersetuju melanjutkan kontrak kerjasama selama empat tahun lagi dalam program pembangunan bola sepak Asia yang dikenali 'Vision Asia', semalam. Di bawah perjanjian itu, Chelsea bakal terlibat secara langsung memberikan bantuan dalam program klinik kejurulatihan, bengkel pengurusan, pembangunan akar umbi dan menambahkan sumber kewangan di dalam setiap projek bola sepak di Asia. Selain daripada itu, Pemain Remaja Terbaik AFC tahunan berpeluang berlatih selama sebulan bersama Chelsea di samping 10 pemain remaja yang terpilih daripada projek 'Vision Asia' AFC di China yang akan berlatih selama dua minggu di sana. Presiden AFC, Mohamed Bin Hammam percaya kerjasama selama empat tahun itu boleh membantu AFC dalam usaha membangunkan bola sepak di benua Asia. ''Sejak pertama kali AFC dan Chelsea menandatangani perjanjian empat tahun lalu, tahap pembangunan bola sepak Asia meningkat dengan baik, begitu juga di tahap akar umbi. "Buat masa ini, 58 bandar raya telah terlibat dengan program 'Vision Asia' dan bilangannya semakin bertambah. Kami cukup bangga dan mahu berterima kasih atas kesudian Chelsea atas kerjasama ini, " kata Hammam di Rumah AFC, semalam. Turut hadir ialah Timbalan Presiden AFC, Zhang Jilong. Chelsea pula yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ron Gourlay, yang gembira dengan jalinan selama ini dengan AFC di dalam program tersebut dan kini sedang memandang ke hadapan dalam pembangunan bola sepak terutamanya di China. "Kami percaya mutu bola sepak di Asia semakin meningkat dan kami gembira kerana menjadi sebahagian daripadanya dan melebarkan pengaruh di Asia. Kami akan meneruskan kerjasama ini dengan AFC, " katanya. Buat masa terdekat, fokus utama Chelsea di dalam program 'Vision Asia' ialah di China namun mereka membuka pintu kepada mana-mana negara Asia lain yang terikat di bawah program itu. Sejak 2007, AFC dan Chelsea telah bekerjasama di dalam lima projek 'Vision Asia China' iaitu di Qingdao, Wuhan, Chengdu, Nanjing dan Zibo. Ia dijangka akan diperluaskan lagi ke lima tempat baru iaitu di Dalian, Kunming, Yongchuan, Dalian dan Qinhuangdao. |
|