KUALA LUMPUR - Datuk Nicol David sudah melakar terlalu banyak rekod sepanjang kariernya dan kelmarin dia memahat satu lagi rekod yang sukar ditandingi, menakluk takhta pemain skuasy wanita No. 1dunia untuk bulan ke-59.
Nicol kini mengatasi rekod yang dipegang legenda skuasy Australia, Michelle Martins, yang memegang status No. 1 dunia selama 58bulan dalam tempoh 1993 hingga 1999. Bagaimanapun ratu skuasy negara itu masih mempunyai satu lagi rekod untuk diatasi, iaitu milik legenda New Zealand, Susan Devoy dari New Zealand yang mengungguli kedudukan teratas dunia selama 105bulan di antara April 1984 hingga Februari 1993.
Bermakna, dengan usia yang sudah mencecah 27 tahun, Nicol perlu beraksi sekurang-kurangnya empat tahun lagi jika mahu mengatasi rekod Devoy, yang mendominasi skuasy wanita dunia sekitar pertengahan 1980an hingga awal 1990an.
Begitupun, sekali pun jika Nicol gagal mengatasi rekod Devoy, dia sudah diangkat dalam Dewan Kemasyhuran dan legenda dengan kejayaan merangkul lima gelaran dunia dan tiga kejuaraan skuasy paling berprestij, Terbuka Britain.Malah, secara keseluruhan pemain kelahiran Pulau Pinang itu telah merangkul 51kejuaraan Jelajah Wispa (Persatuan Pemain Skuasy Profesional Wanita) sepanjang kariernya yang amat gemilang.
Kelmarin, Nicol terus unggul meneraju ranking No. 1 dunia dengan jurang mata yang besar meninggalkan pemain tangga kedua, Jenny Duncalf dari England. Nicol mengumpul 3,332 mata, manakala Duncalf dengan 1,679.
Jaguh Australia, Rachael Grinham melonjak dua anak tangga ke kedudukan ketiga dunia dengan 1,126mata,diikuti Omneya Abdel Kawy dari Mesir (1,114), Alison Waters (1,086), Madeline Perry (1,069), Kasey Brown (1,038), Laura Massaro (1,017), Camille Seme (816) serta Vanessa Atkinson dari Belanda, 758mata.Dua lagi pemain muda negara, Low Wee Wern dan Delia Arnold masing-masing kekal di kedudukan ke-13dan 20dunia.
Sementara itu, ranking hajat Mohd. Azlan Iskandar untuk berada dalam kelompok 10terbaik dunia akhirnya menjadi kenyataan apabila dia melonjak ke kedudukan ke-10dari tangga ke-13, berterima kasih kepada kejayaan menjuarai Bluenose Classic di Kanada, bulan lalu.